Profil dan Nasihat Bijak Dato' Shake Seniman Johor yang Eksis di Paris

Rabu, 16 Januari 2019 06:54:39 4067
Profil dan Nasihat Bijak Dato' Shake Seniman Johor yang Eksis di Paris
Dato' Shake, seniman Malaysia asal Johor yang berkiprah di Amerika dan Prancis Eropa

Hidup Umpama Uncang Teh

SHEIKH ABDULLAH AHMAD atau lebih dikenali ramai sebagai Dato’ Shake, pernah menggemparkan industri hiburan tanah Melayu apabila muncul sebagai penyanyi Malaysia pertama yang mencipta nama di Perancis di pertengahan tahun 70-an. Beliau menetap lama di Amerika Syarikat (AS) dalam membina karier seninya di negara itu dan Eropah. Shake yang berasal dari Johor mempunyai beberapa buah album berbahasa Melayu, yang juga mendapat sambutan hangat di negara ini. Dalam tahun 80-an dan 90-an bukan sahaja lagu-lagunya menjadi siulan anak muda di negara ini ketika itu, tetapi gaya rambutnya turut menjadi ikutan dan fesyen pakaiannya menjadi tumpuan.

Kini kelibat Dato’ Shake sudah lama tidak kelihatan dalam kaca televisyen atau media cetak. Ramai yang tertanya-tanya mana perginya penyanyi kacak yang terkenal dengan lagu Umi, Kau Bunga Ku dan Bicara Tentang Cinta ini. Kali terakhir peminat-peminatnya, menyaksikan beliau ketika menjadi Pengetua dalam rancangan realiti TV, Akademi Fantasia (AF) 2016. Selepas itu, kisahnya sudah tidak kedengaran lagi.

Mingguan Malaysia berkesempatan menghubungi beliau yang kini sudah tujuh tahun kembali ke Paris. Kata lelaki yang berusia 69 tahun ini , dia tetap seperti dahulu. Masih aktif dengan kegiatan seninya di sana. Ikuti temu bual bersama Dato’ Shake melalui e-mel.

Mingguan Malaysia Sudah lama tidak mendengar khabar dari Dato, sejak bila kembali semula ke Perancis?

Shake: Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Mingguan Malaysia kerana sudi dan berminat untuk menemu bual saya. Buat masa ini saya sudah pun berhijrah semula ke Paris selepas lebih daripada 24 tahun menetap di Amerika Syarikat (AS).

Saya tiba di Los Angeles, California pada 1988.Sekarang saya sudah tujuh tahun di Paris, Perancis. Saya balik ke negara asal ini yang mula-mula memberi kerjaya sebagai anak seni kepada saya.

Segala-galanya bermula di Paris pada 1976. Saya menjadi artis Asia pertama yang menempa nama di Eropah dan negara-negara berbahasa Perancis, sebagai penyanyi Perancis. Pada masa yang sama, Bruce Lee adalah seorang pelakon hebat Asia, ketika itu.

Mengapa kembali ke Paris?

Shake: Peminat-peminat saya di Eropah banyak yang tidak gembira apabila saya menghilangkan diri daripada kaca televisyen dan radio tempatan selama lebih daripada 20 tahun! Apabila saya muncul kembali di Paris mereka begitu terharu dan mengalu-alukan kedatangan saya. Atas permintaan peminat-peminat melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain membuat saya berhijrah semula ke sini pada 2012. Merekalah yang memanggil saya.

Apa aktiviti seni di sana?

Shake: Buat masa ini saya masih aktif membuat rakaman dan konsert. Baru-baru ini membuat konsert di L’ile de la Reunion (Reunion Island) pada September tahun lalu. Alhamdulillah, masih ada ramai peminat saya yang setia. Insya-Allah pada tahun ini, saya akan ke Kanada untuk mengadakan beberapa lagi konsert di Perancis dan Belgium.

Atas kurniaan Illahi saya masih lagi melakukan pekerjaan sebagai seorang penghibur dan sentiasa diberikan kesihatan yang baik. Namum saya mesti ada disiplin yang tinggi iaitu menjaga kesihatan. Saya bersenam setiap hari, mana yang saya larat. Datin Milena Shake Abdullah, isteri saya yang sudah 40 tahun bersama saya, Allhamdulillah sentiasa menolong saya dalam soal penjagaan makanan dan kesihatan. Saya pun sudah berhenti merokok, sudah lama juga. Alhamdullilah.

Sebagai perantau, apa pengalaman yang paling berharga?

Shake: Dalam pengalaman perjalanan saya merantau bermula 1973 melalui dari era 70-an, 80-an, 90-an sehingga sekarang, saya dapat melalui banyak pengalaman berharga. Mengalami dan juga menyaksikan berbagai-bagai perubahan, kemajuan dan kerosakan, seperti alam sekitar kita melalui suasana yang menakutkan, contohnya perubahan cuaca, peperangan terutama di negara-negara Islam. Amat sedih ini semua berlaku kerana hawa nafsu, mahu merebut pangkat dan kuasa termasuk harta kekayaan dunia.

Dalam pada itu juga, saya melihat generasi sekarang yang ada antaranya tidak tahu menghormati agama, bangsa dan negara. Mereka membuat undang-undang sendiri yang tidak masuk akal. Menjadikan yang salah nampak betul dan yang betul jadi salah. Memang saya akui, susah sekarang untuk ibu bapa mengajar anak-anak. Cabarannya amat berbeza berbanding dahulu.

Namun dalam dunia ini, nasib baik masih ada lagi sekumpulan orang yang baik tetapi mereka tertindas kerana kemiskinaan yang menyebabkan kerajaan boleh menggunakan rakyat. Pada masa pilihan raya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat tetapi apabila sudah menang mereka lupa dan membuat macam-macam alasan untuk menyelamatkan dan membersihkan nama mereka. Sedih kerana mereka lupa Allah menyaksikan berbuatan mereka yang zalim. Ini pandangan saya yang ikhlas daripada pengalaman merantau seluruh dunia berhijrah dari tahun 1973.

Sekian lama hidup di perantauan, apa yang sentiasa diingati dan menjadi pegangan?

Shake: Saya ingat lagi pesanan arwah umi dan abah saya sebelum saya naik kapal terbang di Subang pada 1973 untuk pergi ke Paris. Sampai sekarang saya masih terus ingat. Mereka pesan “Dollah (nama gelaran saya) ingat kita orang Islam harus hormat-menghormati orang, jangan lupa solat, jangan jadi orang jahat dan jauhkan diri daripada benda-benda yang tidak baik, terutama di negeri orang.” Mengalir air mata umi dan abah. Mengingat ini semua saya berasa begitu sebak. Al-fatihah buat kedua-dua arwah.

Ada apa-apa pesanan untuk peminat-peminat di Malaysia?

Shake: Saya ingin menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu 2019 kepada mereka. Semoga kita semua diberkati Allah SWT, Kepada adik-adik generasi muda, saya ingin menasihatkan supaya memikirkan dengan teliti dalam sesuatu isu. Jangan mudah terpesona dengan media sosial. Berjaga-jagalah mengunakannya. Jangan lupa jaga akhlak, berfikir dengan wajar sebelum membuat sesuatu keputusan, selidik semua berita yang diterima. Jangan terikut-ikut dengan pengaruh yang tidak baik.

Saya sendiri kadang-kadang terikut-ikut juga tetapi saya sentiasa cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Kuatkan silaturrahim sesama kita umat Islam dan pada masa sama hormat menghormati tak kira apa bangsa dan agama. Berbuat baik dengan memberi salam dan senyum dengan muka yang ikhlas.

Ini adalah apa yang saya rasa dalam usia yang semakin meningkat ini. I’m not perfect, Tetapi saya ingin berubah menjadi orang yang lebih baik dengan kebijaksanaan yang mengikut perintah Illahi.

Kawan baik saya pernah berkata ketika dia sakit kuat: “ Kita seumpama teabags (uncang teh). Kita mungkin tidak pernah tahu betapa kuatnya kita, bila kita dicelup ke dalam air panas.” Itu saya sentiasa ingat sampai bila-bila.

Insya-Allah kalau ada rezeki saya nak buat concert tour untuk peminat-peminat yang menanti di Semenangjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. If physically saya masih kuat saya akan terus membuat persembahan.

Tentang artis-artis muda Akademi Fantasia 2016 yang pernah di bawah saya dahulu, saya amat berbangga kerana kesemua mereka berjaya dan doing well with their career. Allhamdulillah. Amir ada contact saya dan yang lain-lain saya ikuti perkembangan masing-masing melalui media sosial. Saya suka mereka kerana mereka adalah anak-anak yang baik.ks

sumber: Utusan

KOMENTAR